Sumbangan Ikhlas

Pihak madrasah sangat mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak yang berminat untuk meningkatkan lagi syiar agama menerusi pengajian Islam. Justeru sesiapa yang berhajat untuk menyumbangkan kewangan kepada madrasah bolehlah menggunakan akaun madrasah seperti berikut:

Madrasah al-Yamani

Bank Islam Malaysia Bhd

No. Akaun : 1415 30 1000 1453

Khidmat al-Yamani

Maybank

No Akaun : 5640 9820 5740

Atau berhubung dengan mudir madrasah seperti berikut :

Syed Muhammad Fadzli bin Syed Ahmad

No 12H Ting 8 Blok A Flat PKNS

Jalan Raja Muda Musa, Kg Baru

50300 Kuala Lumpur

Tel : 019-3838730

Rancangan Madrasah

Menambah Jumlah Pelajar – Pihak pentadbiran madrasah bercadang untuk menambah bilangan pelajar memandangkan permintaan yang amat menggalakkan daripada masyarakat.

Tempat Belajar Yang Sesuai – Pihak madrasah juga sedang berusaha mencari kawasan perumahan yang sesuai untuk dijadikan tempat pengajian. Kemudahan yang sedia wujud sekarang adalah tidak berapa sesuai kerana tidak mempunyai persekitaran yang sesuai untuk pembelajaran. Pihak madrasah berpendapat untuk mewujudkan sebuah madrasah yang baik maka tenaga pengajar yang berkemampuan adalah lebih penting daripada bangunan. Oleh kerana itu beberapa pelajar dari kelas tinggi sekarang sedang dilatih untuk berkhidmat di madrasah sebagai guru selepas tamat pengajian mereka di Yaman kelak. Untuk sementara waktu tempat seperti rumah teres di kawasan perumahan adalah dianggap sesuai kerana aktiviti madrasah dapat menyumbang ke arah meningkatkan tahap agama di kawasan tersebut. Bagi perancangan masa depan pihak madrasah memang berhajat untuk mempunyai bangunan madrasah sendiri.

§ Mewujudkan Dana Pelajaran – Dalam rangka memajukan madrasah ini, maka perlu diwujudkan satu tabung yang bertujuan untuk manampung segala keperluan kewangan madrasah. Justeru pihak madrasah berhajat dan menyeru individu dan pihak syarikat serta korporat untuk menginfaqkan harta mereka ke dalm tabung ini secara bulanan, tahunan atau dalam apa bentuk sekalipun. Bantuan boleh di buat secara terang-terangan atau secara rahsia, ini adalah penting untuk menjaga keikhlasan para penderma.

§ Mewujudkan Program Tajaan – Pihak madrasah meminta simpati masyarakat terutama yang berhajat untuk menderma menaja operasi madrasah seperti bil elektrik, air, sewa rumah, makan minum atau apa-apa bentuk tajaan.

§ Ustaz Mengajar Sepenuh Masa – Adalah menjadi hasrat pihak madrasah untuk menyediakan saguhati bulanan yang mencukupi untuk tenaga pengajar supaya mereka tidak mencari kerja sambilan di luar. Ini adalah bertujuan supaya para ustaz memberi tumpuan yang sepenuhnya dalam bidang pengajian di madrasah tanpa memikirkan urusan keperluan.


Sukatan Pelajaran

Berikut adalah nizam (sistem) yang digunakan oleh Madrasah al-Yamani. Nizam ini merupakan sistem pengajian pondok dan tempoh belajar adalah tujuh tahun. Masa yang lama diperlukan untuk memastikan kefahaman yang mentap dan ini dilakukan secara hafalan dan talaqqi dengan ustaz. Setiap kitab akan dibaca dari kulit ke kulit dan akan disyarahkan oleh ustaz yang mengajar. Penekanan utama akan di beri kepada penguasaan bahasa arab dan feqah Syafie.

Sukatan pelajaran yang tertera di bawah tidak mengikut keutamaan dan tahun pengajian. Ianya juga tidak menyenaraikan keseluruhan kitab-kitab yang akan digunakan.

§ Hafiz al-Quran – Menghafal 30 juzuk al-Quran dengan tajwid yang betul dan makhraj yang tepat.

§ Nahwu – Al-Ujrumiah, Kawakib ad-Durriah, Qatrunnada’ dan ibnu Aqil. Ilmu ini adalah matapelajaran yang penting untuk menghasilkan cabang ilmu yang lain.

§ Sarf – Matnu al-Bina wal asas, mizan al-sorf ,tasriful ‘Izzi & syarah kalilani ‘izzi

§ Tafsir – Al-Jalalain ( Syarah Sowi )

§ Hadith – Matan arba’in (hadith 40), ‘Umdah al-ahkam, Subulussalam, Bukhari dan lain-lain.

§ Feqah – Usul fiqh, Matan Abi Suja’, Safinah Naja, Baijuri, Qawaid Fiqhiyah dan Ayatul Ahkam ( ayat hukum )

§ Faraid – Arrahabiah, Zubat dan Tahrir

§ Balaghah – Husnu Shiyaghah

§ Mantiq – Tashiirul Mantiq

§ Sirah – Qisasul Nabiyeen sehingga Tariqul Khulafah

§ Tauhid – Al-Asyaari, Tuhfatul Murid, Nuruz Zholam dan sunnah wal Jamaah.

§ Insyak dan Khat.

§ Hiwar al-arabiah

§ Pengajian Secara Percuma – Ini bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan ibubapa yang inginkan anak-anak mereka mengaji dalam bidang agama. Pengetahuan agama merupakan ilmu asasi bagi setiap manusia maka mengenakan yuran akan lebih menjauhkan manusia kepada ilmu agama.

§ Tempat Pengajian – Pada waktu ini dua kelas pengajian kitab dan dua kelas tahfiz al-Quran. Kesemuanya adalah terletak di Blok A Flat PKNS Kg Baru.

§ Menyediakan Kemudahan – Segala keperluan asas untuk para pelajar akan disediakan seperti buku rujukan, alat kelengkapan tulis dan lain-lain lagi akan dibekalkan secara percuma.

§ Tempat Penginapan – Bagi pelajar lelaki, ditempatkan di Flat PKNS Kg Baru manakala perempuan ditempatkan di rumah teres Sg Baru.


Sasaran Madrasah

§ Pengajian Ke Peringkat Tinggi – Pelajar akan belajar di Madrasah al-Yamani bermula dari kelas pra hafiiz dan hafiz. Sekiranya mereka telah menghafal al-Quran seterusnya akan memasuki kelas pengajian kitab yang mengambil masa tujuh tahun. Para ustaz akan bertanggungjawab untuk mengajar dan mendidik pelajar secara khusus dan peribadi sehingga mereka mampu sampai ke tahap tertinggi.

§ Pengajian Ke Yaman – Tenaga pengajar di Madrasah al-Yamani mempunyai hubungan yang baik dengan beberapa buah madrasah dan syeikh-syeikh di Hudaidah dan Hadramaut di Yaman. Mereka di sana bersedia untuk menyediakan tempat kepada pelajar Madrasah al-Yamani menyambung pengajian di Yaman. Pelajar memerlukan masa antara satu sehingga dua tahun untuk mendapat ijazah sanad dari syeikh-syeik yang mu’tabar.

§ Mendapat Tauliah Dan Mengajar – sekembali ke tanahair, mereka akan mendapatkan tauliah dan kelulusan dari Majlis-Majlis Agama Negeri untuk membolehkan mereka berkhidmat kepada madrasah dan khususnya kepada masyarakat di dalam dan luar bandar.

Penekanan Utama

§ Mengaitkan Hajat Serta Keperluan Semasa Masyarakat - Dalam setiap bidang agama termasuk aqidah, ibadah, muamalat, muasyarat dan akhlak.

§ Mengembalikan Peranan Sistem Pengajian Pondok- Sistem yang telah wujud di zaman Rasulullah s.a.w yang menekankan aspek kefahaman, hafalan, amalan dan menyampaikan.

§ Mengembalikan Usaha Dakwah- Ulama’ sebagai penggerak usaha amr ma’ruf dan nahi mungkar ( Menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran). Menyeru seluruh umat untuk mentaati keseluruhan perintah Allah s.w.t mengikut cara yang ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

§ Memilih Kehidupan Sederhana – Menitikberatkan kehidupan yang sederhana tanpa bermewah dan melalaikan. Mewujudkan sifat dan akhlak yang mulia yang mirip kepada ulama’ dahulu kala.

Tujuan Penubuhan

i. Mengembalikan Peranan Ulama’ Pondok

Pada suatu ketika dulu ulama’ merupakan sumber rujukan utama dan pedoman masyarakat dalm memahami dan mengamal agama. Ulama’terdahulu juga telah berjaya membimbing masyarakat ke jalan yang lurus dan penghayatan perintah Allah s.w.t sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah s.a.w.

i. Memperbaiki Kejahilan Masyarakat

Kesesatan dan kejahilan umat pada saat ini begitu ketara malah semakin menjadi serius dan parah. Kejahilan semakin menular dan masyarakat sudah tidak kenal halal dan haram. Natijahnya timbul pelbagai bentuk maksiat dan fasad yang semakin tidak dapat dibendung. Golongan ulama’ bertanggungjawab dan berperanan besar untuk mengeluarkan masyarakat dari terus sesat serta dibelenggu kejahilan.

ii. Menghasilkan Guru-Guru Agama Yang Alim, Warak Dan Berwibawa

Untuk membimbing masyarakat masa kini yang serba moden dan canggih memerlukan golongan guru agama yang berilmu dan berkemampuan untuk memperjelaskan hukum agama dan persoalan yang mungkin timbul. Ketrampilan golongan ini penting untuk meyakinkan masyarakat kepada penghayatan agama sebenarnya. Bagi maksud ini, guru-guru agama perlu mempunyai kefahaman yang tepat berdasarkan hujah yang teguh terhadap nas-nas al-Quran dan al-Hadis yang berpaksikan pengetahuan yang mendalam dalam bahasa Arab dan disiplin-disiplin ilmu Islam.

iii. Keperluan Masyarakat Terhadap Guru Agama di Masa Depan

Ulama’ adalah sebagai pelita dan dapat menjadi penerang bagi orang dimasanya. Walaubagaimanapun Institusi ulama’ sekarang semakin pupus. Pergantungan harapan kepada ulama’ sangat penting kerana mereka sebagai penyuluh terutamanya umat kini dalam kegelapan dan sedang hanyut dalam arus pembangunan dan dunia yang serba meterialistik.

iv. Melepaskan Tuntutan Fardu Kifayah

Fungsi madrasah untuk menghasilkan pelajar yang berilmu yang dapat membantu melepaskan tuntutan fardhu kifayah untuk sesebuah kampung atau daerah. Di sebaliknya tanpa guru agama di sebuah kampung maka seluruh penduduk akan berdosa dan akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Pengenalan Madrasah Alyamani

Madrasah al-Yamani bermula secara informal dengan pengambilan beberapa orang pelajar dan bertempat di rumah ustaz iaitu terletak di Flat PKNS, Kpg Baru Kuala Lumpur. Pada ketika itu hanya ustaz Muhd Fadzli sahaja yang berkhidmat sebagai tenaga pengajar. Kelas diadakan di sebelah pagi , malam dan sewaktu ustaz tidak mengajar di luar. Pelajar-pelajar terdiri daripada mereka yang telah menghafal al-Quran dan juga yang tidak mempunyai asas agama yang kuat.

Madrasah al-Yamani berkembang secara perlahan mengikut kemampuan kewangan madrasah dan juga tempat penginapan pelajar dan ustaz. Pada waktu ini madrasah menampung seramai 90 orang pelajar. pelajar dari luar negara adalah Thailand, Kemboja, Vietnam, Filipina, Indonesia dan Myanmar. Segala perbelanjaan dan pengurusan madrasah ditanggung secara dalaman dan juga infaq ( sumbangan sedekah ) daripada individu dan syarikat persendirian.

Madrasah al-Yamani telah diasaskan oleh Ustaz Syed Muhammad Fadzli bin Syed Ahmad pada tahun 1995 sejurus selepas menamatkan pengajiannya di Yaman. Tujuan utama penubuhan madrasah ini adalah untuk mencurahkan bakti kepada masyarakat setelah lebih sepuluh tahun mendalami ilmu agama di perantauan seperti di Yaman, Pakistan dan Bangladesh.

Perjalanan madrasah ini menggunakan pendekatan sistem pengajian pondok . Ianya merupakan suatu sistem pembelajaran ilmu agama cara lama yang bermula di zaman Rasulullah s.a.w di Mekah dan Madinah. Sistem ini telah bertapak di Malaysia dan Nusantara sejak berabad lamanya dan telah berjaya menghasilkan ribuan ulama’ yang warak lagi berwibawa membimbing umat ke arah mentaati perintah Allah s.w.t berasaskan al-Quran dan al-Sunnah.